API marak membakar bahagian belakang tingkat atas kediaman warga emas  di Kampung Simpang Tok Ku.
API marak membakar bahagian belakang tingkat atas kediaman warga emas di Kampung Simpang Tok Ku.
Zaid Salim


LEBIH RM10,000 wang kutipan sewa rumah milik seorang warga emas hangus apabila kediaman didudukinya bersama anak perempuan terbakar dalam kejadian di Kampung Simpang Tok Ku di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian 7.40 malam, tingkat atas kediaman itu hangus termasuk barangan kemas yang membabitkan nilai kerugian lebih RM80,000.

Rahmah Maznah Ngah, 76, yang juga ibu tunggal berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama anak perempuannya, Norbaini Othman, 53, baru selesai makan sebelum menunaikan solat Maghrib.

"Kebiasaannya selesai makan, saya dan anak naik ke tingkat atas untuk solat Maghrib, namun saya tidak sempat menunaikan solat selepas mendapati api marak di tingkat atas.

RAHMAH sugul selepas kediaman diduduki bersama anak perempuan hangus.
RAHMAH sugul selepas kediaman diduduki bersama anak perempuan hangus.

"Kebakaran disedari anak selepas mendapati kepingan papan hangus jatuh dari tingkat atas ketika dia mencuci tangan selepas selesai makan.

"Selepas mendapati api marak, saya bersama anak bergegas keluar menyelamatkan diri dan hanya sempat mencapai beg tangan diletakkan di tingkat bawah manakala wang kutipan sewa rumah disimpan dalam almari di tingkat atas selepas diberikan adik, semalam," katanya.

Biarpun sebahagian rumah berusia lebih 30 tahun itu musnah, dia bersyukur kerana mereka terselamat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Pegawai Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Arifuddin Ali berkata, 26 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.46 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:01 AM