MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
BERNAMA

Riyadh: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu) pada Isnin melancarkan platform digital baharu yang dipanggil 'Nusuk.sa' bagi memudahkan prosedur ketibaan jemaah umrah dari seluruh dunia ke Makkah dan Madinah.

Dalam satu kenyataan menerusi Twitter rasminya pada Isnin, kementerian itu berkata, platform berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif program perkhidmatan Haji dan Umrah yang dibangunkan oleh negara itu sebagai salah satu program dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.

Platform dilancarkan dengan kerjasama pihak berkuasa pelancongan Arab Saudi itu bermatlamat menawarkan pengalaman yang lebih baik mengenai budaya negara itu kepada jemaah, selain memudahkan proses tempahan dan membantu mereka daripada segi komunikasi, menurut kenyataan itu.

Platform itu adalah tambahan kepada pelbagai perkhidmatan lain yang bakal disediakan oleh kerajaan Arab Saudi pada masa hadapan, termasuk peta interaktif, kalendar khas untuk acara dan aktiviti, panduan digital untuk semua arahan dalam beberapa bahasa, serta maklumat kesihatan dan perkhidmatan.

Platform digital 'Maqam' akan terus beroperasi pada masa ini bagi membolehkan jemaah asing membuat tempahan umrah dan mendapatkan visa secara dalam talian, sehingga Nusuk.sa diaktifkan sepenuhnya.

Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah berkata, platform Nusuk.sa adalah lanjutan daripada usaha berterusan kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya kepada jemaah umrah dan haji dari seluruh dunia.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa platform yang disediakan untuk jemaah menggunakan teknologi terkini akan memudahkan prosedur bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah dan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:07 PM