ANGGOTA bomba memberi bantuan awal kepada mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memberi bantuan awal kepada mangsa. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Keningau: Wanita mengandung yang terjun ke sungai Kampung Ansip, di sini, hari ini, ditemukan selamat oleh orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita berusia 45 tahun itu ditemukan sejauh 1.2 kilometer dari lokasi awal dia dilaporkan terjun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik menerima laporan, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pesisir sungai bersama penduduk kampung.

"Mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam di tepi sungai kira-kira 1.2km dari lokasi dia dilaporkan terjun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat seterusnya diberi rawatan awal unit di lokasi.

Katanya, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.14 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:37 PM