BEH menunjukkan bukti dadah yang dirampas. FOTO Genes Gulitah
BEH menunjukkan bukti dadah yang dirampas. FOTO Genes Gulitah
Nurul Hidayah Bahaudin dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Kegiatan satu sindiket menjual biskut berperisa ganja di Lembah Klang tumpas selepas polis menahan tujuh lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Batu Caves, Selangor serta Bandar Menjalara Kepong, di sini, pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun pada 4 petang, Rabu lalu di kawasan kondominium di Bandar Menjalara Kepong dalam serbuan pertama.

"Dalam serbuan itu, kami menemui satu peket mengandungi dadah methaphetamin seberat 13 gram di dalam poket suspek.

"Berpandukan maklumat dari suspek, kami membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran yang membawa kepada penemuan 15 ketulan mampat ganja seberat 14.98 kilogram.

"Selain itu, kami turut menemui dua bungkusan mengandungi 12 biskut berperisa ganja serta lima peket methaphetamin seberat 65 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barang kemas serta wang tunai berjumlah RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek terbabit membawa kepada serbuan kedua di Jalan Lintang Batu Caves pada 5 petang, Khamis lalu dengan penahanan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 25 tahun.

"Pemeriksaan di dalam kereta milik suspek menemui 10 ketulan mampat ganja seberat 9.94 kilogram di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

"Kami turut merampas beberapa barang kemas serta wang disyaki hasil jualan dadah itu sebanyak RM1,500," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan empat lagi lelaki berusia 23 hingga 24 tahun dalam serbuan ketiga di sebuah kondominium di Jalan Bandar Menjalara jam 7 malam, Khamis lalu.

"Kami menemui satu peket dadah jenis methaphetamin seberat 5.40 gram, dua peket mengandungi pil ekstasi seberat 2.86 kilogram serta wang tunai berjumlah RM2,100 dipercayai hasil jualan dadah terbabit.

"Keseluruhan rampasan dadah bagi ketiga-tiga serbuan itu adalah RM248,490 yang boleh menampung 15,798 penagih," katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah mengambil tempahan biskut ganja daripada seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang sebelum ia dijual kepada pelanggan tetap menerusi media sosial.

"Suspek mengambil biskut ganja itu daripada pembekal sebelum ia dibungkus semula untuk dijual enam biskut dalam setiap bungkusan pada harga RM100.

"Suspek yang menerima tempahan daripada pelanggan tetap akan menghantar sendiri biskut berkenaan. Kami percaya bekalan ganja itu diperoleh di sekitar Lembah Klang," katanya yang memaklumkan sindiket itu aktif melakukan kegiatan itu sejak akhir tahun lalu.

Katanya, pihak polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam proses menghasilkan biskut berperisa ganja berkenaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati tiga daripada tujuh suspek berkenaan positif dadah jenis ganja.

Semakan dilakukan mendapati empat daripada tujuh suspek terbabit memiliki rekod berkaitan dadah," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 4:49 PM