Mohd Roji Kawi


Asajaya: Dentuman bunyi zink diikuti bunyi runtuhan dinding rumah mengejut penghuni dua kediaman di Kampung Tambirat Tengah, di sini, selepas bahagian dapur rumah mereka ranap akibat tebing sungai runtuh, malam tadi.

Salah seorang penghuni, Hamdan Lo, 53, berkata sebaik mendengar bunyi itu, beliau melihat keluar jendela dan lebih mengejutkan apabila sebatang pokok kelapa bergoyang sebelum tiba-tiba tumbang ke dalam sungai.

Menurutnya, menyedari kejadian buruk sedang berlaku, beliau menjerit sekuat hati menyuruh penghuni yang lain segera keluar menyelamatkan diri.

"Ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, saya baharu sahaja hendak tidur. Saya cemas mendengar bunyi zink dan dinding rumah runtuh.

DUA keluarga terselamat dalam kejadian runtuhan di Kampung Tambirat Tengah, di sini, malam tadi. FOTO NADIM BOKHARI
DUA keluarga terselamat dalam kejadian runtuhan di Kampung Tambirat Tengah, di sini, malam tadi. FOTO NADIM BOKHARI

"Ketika itu saya sudah terbayangkan rumah kami akan runtuh sepenuhnya kerana pernah berlaku beberapa tahun sebelum ini, rumah penduduk berdekatan rumah ranap sepenuhnya apabila tebing sungai runtuh," katanya.

Hamdan berkata, ketika kejadian itu beliau bersama isteri dan anak-anak berada di rumah manakala jiran mereka keluar.

"Nasib baik kami semua selamat dalam kejadian itu, cuma banyak barang di dapur termasuk peralatan membuat kuih jatuh ke dalam sungai.

"Seramai 12 mangsa terjejas dalam kejadian ini iaitu lima rumah saya, manakala jiran pula tujuh orang. Kami semua diarah menumpang di rumah lain buat sementara waktu demi keselamatan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 10.45 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Kami memantau pergerakan tanah di tebing sungai dan kemudian menyerahkan kes itu kepada polis untuk memastikan keselamatan penghuni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 2:31 PM