Keadaan jeti bot penambang yang sudah usang. FOTO NAZDY HARUN
Keadaan jeti bot penambang yang sudah usang. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Pilihan Raya Umum (PRU) pun sudah, kini menyusul pula Pilihan Raya Negeri (PRN), namun rungutan dan rintihan kami tetap dipandang sepi hingga kini," kata Saidi Muhamad, 48, pemandu bot penambang selepas jeti berhampiran Pasar Payang di sini, semakin usang.

Menurutnya, mereka meminta jeti itu dibaiki bukan hanya suka-suka, bukan untuk kegunaan peribadi namun untuk kegunaan awam dan mencermin imej di mata pelancong.

Katanya, bot penambang ini bukan hanya digunakan penduduk setempat, malah ia kini menjadi tarikan pelancong.

"Musim cuti ramai pengunjung luar yang datang ke Pasar Payang, akan turun ke jeti untuk merasai bagaimana menaiki bot penambang.

"Biasanya mereka akan naik di jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir sebelum berpatah bali ke Pasar Payang namun tidak kurang yang ingin dibawa bersiar-siar," katanya.

Menurutnya, lebih menyedihkan rungutan dan harapan mereka supaya jeti itu dibaiki masih tidak kesampaian ibarat mencurah air ke daun keladi.

Katanya, isu ini sudah berlarutan hampir dua tahun, walaupun komuniti pemandu bot penambang itu kecil namun imej yang dibawa mereka adalah besar.

Saidi berkata, walaupun kelompok pemandu bot itu kecil namun janganlah dianak tirikan kerana masalah ini sudah berlarutan sekian lama.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Bot Penambang Seberang Takir (PPBPST) Muhamad Ismail, 76, berkata, terdapat 16 buah bot yang masih aktif menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

"Kami tidak membawa jeti, sebaliknya kami membawa imej dan keselamatan penumpang justeru kami berharap pihak berkenaan dengar rintihan kami.

"Ya...kami tahu ada sebuah lagi jeti berhampiran namun penumpang kami ini bukan semua pelancong untuk menggunakan jeti itu.

"Penumpang kami ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, biasanya penduduk setempat yang menggunakan perkhidmatan bot untuk menghantar barangan dari jeti Seberang Takir ke Pasar Payang.

"Sekiranya kedudukan jeti jauh dari pasar, sudah tentu sukar barang yang kami bawa untuk diambil peniaga di pasar.

"Contohnya, keropok lekor yang dihasilkan di Seberang Takir, dihantar ke Pasar Payang dengan menggunakan khidmat bot penambang," katanya.

Menurutnya, selain itu kedudukan jeti di belakang pasar juga memudahkan pengguna untuk membawa barang yang dibeli di pasar ke jeti sebelum menaiki bot untuk pulang.

Katanya, khidmat bot penambang ini bukan untuk pelancongan semata-mata oleh itu kami amat perlu sebuah jeti yang lebih selamat dan kukuh berhampiran dengan pasar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 2:10 PM