SISTEM terdahulu setiap pekerja Bangladesh perlu membayar yuran sehingga RM20,000 bagi proses pembayaran kepada ejen. FOTO Arizul Hafiz Awang
SISTEM terdahulu setiap pekerja Bangladesh perlu membayar yuran sehingga RM20,000 bagi proses pembayaran kepada ejen. FOTO Arizul Hafiz Awang
Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan memperbaharui Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk pekerja warga Bangladesh selepas kemasukan mereka digantung sejak September tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan Bangladesh bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MoU) itu untuk dikaji semula dalam jangka masa terdekat.

Menurut Kulasegaran, perkara yang akan dibincangkan termasuk pelaksanaan mekanisme yang telus membabitkan penyertaan kedua-dua negara serta agensi pengambilan pekerja Malaysia juga Bangladesh.

“Kita harap isu ini dapat diselesaikan segera kerana sebahagian pekerja Bangladesh menjadi mangsa eksploitasi dan berhadapan dengan pelbagai masalah selepas datang bekerja ke negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan Kementerian Sumber Manusia Bersama Pelanggan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar.

M KULASEGARAN. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
M KULASEGARAN. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pada 1 September 2019, kerajaan menggantung SPPA untuk pekerja Bangladesh yang hanya membenarkan proses pengambilan oleh 10 agensi terpilih.

Sistem terdahulu menyaksikan setiap pekerja Bangladesh perlu membayar yuran sehingga RM20,000 bagi proses pembayaran kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain untuk berkerja di Malaysia.

Kulasegaran berkata, perbincangan dua hala mengenai syarat-syarat baru MOU pengambilan pekerja asing Bangladesh itu bertujuan mengelak pembabitan pihak ketiga yang membuat keuntungan melampau ke atas pekerja berkenaan.

Menurut beliau, MOU baharu itu juga membantu pekerja Bangladesh daripada mengeluarkan perbelanjaan tinggi dan memberi kesan buruk kepada negara dalam mendapatkan khidmat pekerja asing.

“Contoh, kita mengambil cara kemasukan pekerja warga Nepal ke Malaysia yang mana yuran untuk proses visa, tiket kapal terbang dan kos lain dibiayai oleh majikan.

“Kita sedang berusaha memperbaharui polisi bagaimana mengendali pengambilan pekerja asing dari Bangladesh dan jumlah pengambilannya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 3:11 PM