GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hanya 23,422 dos atau 8.6 peratus kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun di Kelantan yang lengkap divaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kanak-kanak yang menerima satu dos vaksin pula adalah berjumlah 43,256 dos atau 15.9 peratus.

Katanya, angka berkenaan adalah rendah berbanding keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin adalah lebih 115,000 orang.

"Selain itu, jumlah kanak-kanak yang menerima vaksin di Kelantan juga rendah berbanding di negeri lain, namun PICKids di negeri ini sudah berakhir sejak tiga hari lalu.

"Pada masa ini, hanya fasiliti kesihatan swasta dan klinik kesihatan yang menyediakan suntikan vaksin kepada kanak-kanak.

"Bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mengambil suntikan vaksin kepada anak-anak, mereka boleh berbuat demikian di klinik kesihatan atau fasiliti swasta," katanya di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, suntikan vaksin itu diteruskan untuk kanak-kanak yang mendapat janji temu bagi suntikan dos kedua.

Pada perkembangan yang lain, Dr Zaini berkata, pemberian dos penggalak bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah berjumlah 332,154 orang atau 26.4 peratus.

"Jangkitan kes Covid-19 di Kelantan juga rendah dan hanya mencatat kes dua angka sejak beberapa minggu yang lalu.

"Namun, pihak kita sentiasa mahu mengingatkan penduduk negeri ini supaya sentiasa menjaga diri untuk mengelak jangkitan Covid-19 memandangkan kes ini masih ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 1:30 PM