Pengarah HRPZ II bersama dua cucunya yang menerima suntikan vaksin menerusi PICKids. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Pengarah HRPZ II bersama dua cucunya yang menerima suntikan vaksin menerusi PICKids. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Alhamdulillah, anak saya begitu teruja bangun awal pagi untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

"Malah, anak juga memberi kerjasama baik ketika suntikan dilakukan," kata Dr Sumayyah Mohd Azmi, 33, iaitu ibu kepada Adam Rayyan Rizqi Mohamad Zalman, 7, yang menerima dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), hari ini.

Dr Sumayyah yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata, sejak seminggu lalu, dia sudah memaklumkan kepada Adam Rayyan Rizqi dan adiknya Nyr Izzara Sofea, 6.

"Sejak diberitahu tentang suntikan vaksin, anak tidak menolak dan bersetuju untuk menerima vaksin. Anak sulung saya memang tiada masalah dan tidak takut jarum berbanding adiknya.

"Namun, Alhamdulillah kedua-dua anak saya beri kerjasama baik ketika menerima vaksin dan mereka sangat bersemangat apabila sudah bangun seawal 6.30 pagi.

"Sejak pelaksanaan PICKids, saya sentiasa menerangkan kebaikan suntikan vaksin kepada anak-anak menyebabkan mereka terbuka sebaik saya memaklumkan mereka perlu divaksin hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian PICKids peringkat Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Sementara itu, Afif Zayd Aiman Asyraf, 9, turut meluahkan rasa teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin, hari ini.

Afif Zayd Aiman yang juga cucu kepada Pengarah HRPZ II, Datuk Selasawati Ghazali turut memaklumkan tidak takut untuk ke hospital bagi menerima suntikan berkenaan.

"Saya dan adik, Aafia Zulfa, 7, ditemani ibu menerima vaksin hari ini. Tak sakit pun, sekejap saja sudah siap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 1:02 PM