Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang lelaki berang apabila gambarnya bersama isteri serta saudaranya disalah gunakan dipercayai oleh 'along' kononnya bagi menagih hutang.

Mohd Nasir Nayan, 60, menyedari perbuatan tidak bertanggungjawab itu selepas isterinya menerima pesanan WhatsApp daripada nombor tidak kenali petang semalam.

Hantaran WhatsApp berkenaan memaklumkan kononnya anak saudaranya meminjam wang daripada mereka tetapi sehingga kini gagal menghubungi bagi menagih baki hutang.

Beliau berkata, dia kemudian berjumpa anak saudaranya bagi mendapat penjelasan lanjut.

"Anak saudaranya memaklumkan tidak pernah meminjam wang dari mana-mana syarikat kewangan atau individu.

Nasir Nayan menunjukkan pesanan Whatsapp dan juga gambar yang mempunyai gambar dan isterinya dipercayai telah digunakan oleh ' Ah Long'. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Nasir Nayan menunjukkan pesanan Whatsapp dan juga gambar yang mempunyai gambar dan isterinya dipercayai telah digunakan oleh ' Ah Long'. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.

"Saya berang kerana gambar saya dan isteri serta saudara disalahgunakan pihak tertentu, dan ini sudah tentu menjatuhkan maruah serta mengaibkan keluarga saya.

"Bukan sekadar gambar disalah gunakan malah hantaran WhatsApp berkenaan juga mengandungi perkataan kesat termasuk maki dan carut ," katanya ketika ditemui, dekat Kampung Balun, di sini.

Beliau yang juga Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Balun berkata, gambar berkenaan pernah dimuat naik dalam Facebook dan tidak menolak kemungkinan gambar berkenaan diambil dari situ.

Mohd Nasir berkata, susulan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Slim River, 11 malam tadi.

"Saya dan keluarga menanggung malu jika pihak terbabit menghantar atau menyebar gambar kami kepada orang lain sedangkan perkara itu palsu.

"Saya juga cuba hubungi pihak terbabit melalui nombor dalam WhatsApp tetapi talian gagal dihubungi seolah-olah tidak wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 12:53 PM