Pegawai KPDNHEP Sabah melakukan pemeriksaan terhadap bekalan daging ayam di pasar sekitar Sabah. Foto Ihsan KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP Sabah melakukan pemeriksaan terhadap bekalan daging ayam di pasar sekitar Sabah. Foto Ihsan KPDNHEP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik ayam kerana bekalan ayam mentah sedia ada mencukupi khususnya menjelang sambutan Pesta Kaamatan pada esok dan Selasa ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan di pelbagai peringkat termasuk peruncit dan pemborong di negeri itu mendapati bekalan daging ayam masih mudah diperoleh di pasar utama, pasar raya dan kedai runcit.

Katanya, pemantauan bekalan ayam termasuk barang keperluan asas lain dijalankan setiap hari oleh KPDNHEP bagi memastikan bekalan tidak terputus dan dijual pada harga berpatutan.

"Di Sabah, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan untuk pasaran tempatan.

"Terdapat 19 penternak ayam pedaging utama yang boleh mengeluarkan sebanyak tiga juta ekor ayam sebulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Georgie berkata, berdasarkan laporan harian, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan dianggarkan sebanyak tiga juta ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari.

"Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula adalah sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari.

"Memandangkan permintaan ke atas kepak ayam meningkat pada musim perayaan di Sabah, maka kerajaan melalui KPDNHEP menyenaraikan kepak ayam sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan berkuat kuasa pada 27 Mei lalu hingga 2 Jun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 3:11 PM