SUSPEK cuba mengelar lehernya sendiri dengan pisau.  FOTO Hazsyah Abdul Rahman
SUSPEK cuba mengelar lehernya sendiri dengan pisau. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan selamatkan lelaki yang cuba mengelar lehernya sendiri dengan pisau di Tanjung Batu, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, suspek berusia 25 tahun yang cedera di leher dan kepala kini menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, suspek dari Kampung Bahagia datang ke kampung itu bagi menghadiri majlis perkahwinan sebelum cuba membunuh diri.

Penduduk kampung dan beberapa ahli keluarga suspek cuba memujuk namun gagal sebelum menghubungi PPM Sandakan untuk bantuan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sepasukan anggota PPM Sandakan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima penggilan berhubung kejadian lelaki cuba membunuh diri.

"Sebaik tiba, seorang lelaki didapati meletak pisau dilehernya sambil mengugut mengelar lehernya jika sesiapa menghimpirinya.

"Ketika memujuk, suspek tiba-tiba terjatuh ke atas perahu dan terus mengelar lehernya namun beberapa anggota PPM sempat menepis dan terus menangkap suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, akibat kejadian itu, suspek cedera di leher dan kepala.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah tekanan perasaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 309 kerana cubaan membunuh diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 8:52 PM