Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis memburu 10 lelaki dipercayai ahli Geng 66 selepas menyerang tiga remaja di sebuah restoran di Lintas Plaza di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, ketiga-tiga mangsa berusia 14 tahun itu cedera di muka dan tangan diserang dengan kerusi hanya kerana tidak puas hati dengan cara mangsa menolak untuk menyertai kumpulan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum didatangi ahli kumpulan terbabit.

Katanya, salah seorang daripada ahli kumpulan itu bertanyakan kepada ketiga-tiga mangsa dari kumpulan mana.

"Mangsa menerangkan mereka bukan dari mana-mana kumpulan serta tidak mahu menyertai mana-mana kumpulan sebelum diserang menggunakan kerusi.

"Insiden itu bagaimanapun dileraikan pemilik restoran terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

SEKUMPULAN sepuluh lelaki membelasah tiga sekawan di di sebuah restoran di Lintas Plaza, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PEMBACA
SEKUMPULAN sepuluh lelaki membelasah tiga sekawan di di sebuah restoran di Lintas Plaza, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PEMBACA

George berkata, akibat insiden itu, semua mangsa lebam di mata dan tangan.

Katanya, semua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati, salah seorang mangsa mengenal pasti suspek yang mulakan rusuhan itu.

"Hasil semakan dengan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengenal pasti beberapa suspek yang terbabit," katanya.

George berkata, usaha mengesan semua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menyalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu, Inspektor P. Palani Nathan di talian 016-4122835," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 7:25 PM