Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Emak belum tahu rumah hangus... cuma dimaklumkan terbakar dan selamat sahaja kerana dia sedang menunaikan umrah," kata Mohd Zuriman Johari, mangsa kebakaran di Kampung Demit, Kubang Kerian, di sini, petang semalam.

Mohd Zuriman, 43, berkata ibunya, Mislia Abdullah, 64, yang berada di Makkah sejak 20 Mei lalu mengetahui kebakaran itu bukan melaluinya, tetapi daripada ahli keluarga lain.

"Kami adik-beradik sepakat tidak memberitahu emak buat masa sekarang kerana enggan mengganggu ibadah umrahnya tapi rupanya dia sudah tahu mengenai kebakaran (rumahnya) itu lebih awal.

"Bagaimanapun, emak dimaklumkan rumahnya selamat, namun kami tidak dapat jangka bagaimana reaksinya apabila pulang pada 1 Jun nanti," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Zuriman berkata, dalam kejadian pada 6 petang itu, bengkel membaiki kereta miliknya turut terbabit dan memusnahkan beberapa peralatan serta mesin.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang tidur dalam bilik di rumah ibunya sebelum terdengar anaknya menjerit memberitahu rumah sedang terbakar.

"Sebaik mendengar jeritan anak, saya terus keluar dan ternampak api sedang membakar dinding ruang tamu dan kami tiga beranak segera keluar menyelamatkan diri.

"Saya kemudian teringat kereta pelanggan dan ingin kembali masuk ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dengan memecahkan cermin tingkap bilik, namun asap terlalu tebal.

"Dengan bantuan orang ramai, tiga kereta pelanggan terpaksa dipecahkam cerminnya untuk dialihkan ke tempat selamat, bagaimanapun kereta Perodua Myvi milik saya dan Peugeot milik pelanggan ada sedikit kerosakan di bahagian hadapan," katanya.

Keadaan rumah yang hangus dan bengkel membaiki kereta yang turut terbabit dalam kebakaran di Kampung Demit, Kubang Kerian, petang semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Keadaan rumah yang hangus dan bengkel membaiki kereta yang turut terbabit dalam kebakaran di Kampung Demit, Kubang Kerian, petang semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Mohd Zuriman yang menetap di Kampung Sering, di sini, berkata kerugian dialaminya tidak seberapa, namun sedih memikirkan rumah pusaka orang tuanya yang hangus.

Menurutnya, kebakaran itu turut memusnahkan peralatan membuat kuih yang diusahakan adik lelakinya termasuk peti ais, mesin penguli, kawah dan mesin menghasilkan serunding.

"Rumah ini dihuni adik bersama ibu dan saya akan mengajak mereka tinggal bersama buat sementara sebelum keputusan diambil sama ada emak ingin membina semula rumah di tapak itu atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 12:49 PM