INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
INDIVIDU dijangkiti cacar monyet. FOTO fail AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Belum puas menikmati kelonggaran pelbagai sekatan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, Malaysia dan seluruh dunia kini berdepan ancaman kesihatan global baharu - monkeypox atau cacar monyet.

Gelombang jangkitan terkini itu bermula pada awal Mei lalu dengan kes pertama dikesan di United Kingdom, sebelum merebak pantas ke negara-negara lain di Eropah dan Amerika Utara melalui jangkitan daripada manusia kepada manusia.

Setakat ini, penyakit itu direkodkan di 99 buah negara dengan 92 daripadanya tidak ada sejarah jangkitan cacar monyet, penyakit yang disebabkan oleh orthopoxvirus.

Penyakit ini lazimnya hanya ditemukan di benua Afrika dan dijangkitkan kepada manusia oleh haiwan, khususnya spesies rodensia.

Buat masa ini tiada kes cacar monyet dikesan di Malaysia walaupun kebanyakan negara tetangga telah melaporkan kes masing-masing dengan Singapura merekodkan kes paling banyak iaitu 16 kes, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC). Bagaimanapun, timbul persoalan berapa lama situasi ini dapat bertahan berikutan pergerakan keluar masuk rakyat dan pelawat ke Malaysia semakin rancak dewasa ini.

"Berat untuk diakui, namun saya perlu nyatakan bahawa kemungkinan besar kes (cacar monyet) akan tiba juga di negara kita suatu hari nanti," kata Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim, pakar virologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Bernama.

Sebelum ini, ia hampir-hampir menjadi kenyataan - seorang lelaki Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura disahkan positif pada Julai lalu ketika berkunjung ke Johor, sementara kenalannya diuji negatif - namun setakat ini semua kes yang disyaki disahkan negatif.

Pakar mengingatkan jika kes cacar monyet berlaku di Malaysia, ada beberapa faktor yang akan menentukan tahap penularannya.

Mengambil kira hakikat yang dunia masih lagi 'bertarung' dengan Covid-19 walaupun tidak sehebat dahulu, kepantasan penularan strain virus cacar monyet yang baru bermutasi dan lebih mudah berjangkit tidak terjangka oleh pakar.

Langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, jika masih dikuatkuasakan, boleh menghalang penularan virus cacar monyet. Namun itu hanya 'jika.'

Kebanyakan negara terawal merekodkan kes cacar monyet melalui jangkitan manusia kepada manusia di Eropah dan Amerika Utara adalah dalam kalangan negara paling awal melonggarkan langkah pencegahan Covid-19. Selepas dua tahun mengharungi sekatan pergerakan dan kehidupan sosial yang terbatas, masyarakat sudah bosan untuk terus berwaspada dan kini teruja untuk kembali hidup seperti sebelum ini.

Ringkasnya, mereka mengalami kelesuan pandemik.

"Ketika kita sedang bangkit daripada pandemik, saya rasa orang ramai cuma mahu menjalani kehidupan seperti sebelum ini - bebas bergerak dan tidak terikat dengan penjarakan fizikal selain mahu berkumpul beramai-ramai. Semua ini membuka ruang untuk penyakit tersebar," kata Dr Rachel Ting, ahli psikologi di Monash University-Malaysia.

Di Malaysia, walaupun masih ramai berpelitup muka di dalam ruang tertutup seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, jumlah yang memakainya secara sambil lewa juga semakin ketara selepas kerajaan melonggarkan kebanyakan sekatan. Sesetengahnya memakai pelitup muka di dagu, malah ada juga yang langsung tidak berpelitup muka ketika di dalam pejabat atau auditorium.

Situasi ini berisiko kerana strain cacar monyet boleh merebak melalui titisan cecair respiratori, sekalipun hanya boleh berlaku dalam jarak dekat. Langkah lain seperti penjarakan fizikal dan hadkan sentuhan tidak lagi dikuatkuasakan. Cacar monyet lazimnya merebak melalui sentuhan dengan cecair badan, sentuhan langsung pada lesi atau lepuh yang merupakan antara ciri-ciri cacar, dan barang yang terdedah kepada jangkitan itu seperti cadar.

"(Sebelum ini) orang ramai tegar mematuhi langkah-langkah kesihatan seperti membasuh tangan dan menjaga jarak fizikal. Namun selepas Covid-19, mereka macam sudah lupa semua ini," ulas Dr Nazlina.

Ini dipersetujui Dr Ting yang berkata kesan psikologi ke atas manusia akibat pandemik, termasuk depresi dan kebimbangan, boleh menyumbang kepada kelesuan pandemik.

"Sikap waspada yang tinggi adalah kelakuan yang saya sifatkan sebagai menjaga diri sendiri. Apabila orang sudah letih, kelakuan ini juga berubah. Mereka mula ambil sikap acuh tidak acuh," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, kelesuan pandemik juga hadir dalam bentuk pemulauan sosial. Justeru, beliau menggesa agar lebih banyak bantuan psikologi diberikan kepada mereka yang sedang pulih daripada trauma pandemik.

Satu lagi kebimbangan pakar adalah berkenaan stigma yang dibawa oleh cacar monyet. Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dalam kalangan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), rata-rata membabitkan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) - aktiviti seksual yang diharamkan oleh undang-undang negara ini.

Pakar epidemiologi di Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki memberitahu Bernama, stigma itu boleh menyebabkan orang yang mungkin terdedah kepada penyakit tersebut bertindak mendiamkan diri.

"Kita perlu jelas di sini. Jangan timbulkan salah faham bahawa cacar monyet hanya berlaku pada MSM atau LGBT. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti," tegas beliau.

Kata beliau, kesedaran dalam kalangan klinisian juga penting agar mereka tidak terkeliru di antara cacar monyet dan cacar air lazim, seperti yang dilaporkan berlaku di negara lain.

Kaedah pemantauan semasa termasuk doktor melaporkan sebarang kes pesakit yang datang dengan gejala cacar monyet - antaranya demam, lesu, bengkak yang menyakitkan pada nodus limfa, lepuh pada tangan, muka dan alat sulit. Mereka perlu mencatatkan sejarah perubatan dan pengembaraan pesakit terbabit selain mengambil sampel untuk diuji.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sekiranya berlaku penularan di negara ini, vaksin cacar monyet hanya disediakan untuk pekerja kesihatan berisiko tinggi dan kontak rapat.

Vaksin variola atau cacar yang tidak lagi ditawarkan di negara ini sejak 1980, dilaporkan 85 peratus berkesan terhadap cacar monyet.

Bagaimanapun kata Dr Rafdzah, vaksin untuk cacar air atau chicken pox tidak berkesan terhadap penyakit itu.

Setakat ini, hampir 50,000 kes dilaporkan serta 16 kematian dengan kes terkini direkodkan di Amerika Syarikat pada 30 Ogos lalu, kata CDC.

Walaupun sikap 'relaks' dalam kalangan rakyat Malaysia sekarang mungkin membimbangkan, Dr Nazlina berkata penularan cacar monyet berkemungkinan besar lebih mudah dikawal berbanding Covid-19 kerana penyakit itu tidaklah semudah koronavirus untuk berjangkit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kadar kebolehjangkitan cacar monyet dalam kalangan kumpulan MSM adalah 1 ke atas dan 1 ke bawah bagi kumpulan lain.

"Teruskan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang kita tetapkan untuk Covid-19 dan sentiasa beringat bahawa anda (berisiko) mendapat penyakit ini daripada mereka yang mengamalkan seks sedemikian," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 8:00 AM