HAMZAH. FOTO Bernama
HAMZAH. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tiada pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian letupan bom dan tembakan senjata api di Tak Bai, Thailand malam tadi.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, buat masa ini tiada sebarang pengumuman mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian berkenaan.

"Bagaimanapun, saya perlu lebih kepastian sebelum menjawab beberapa soalan berhubung insiden itu.

"Selain itu, tiada isu untuk kita mengetatkan sempadan Malaysia susulan kejadian itu kerana kita memang mengawal ketat sempadan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media memetik Bangkok Post melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas sebuah balai polis marin di Tak Bai diserang dengan individu bersenjata api dan bom tangan, semalam.

Serangan bermula 9.35 malam (waktu tempatan), kira-kira enam penyerang membaling bom ke arah balai berkenaan dan melepaskan tembakan dengan raifal automatik.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, KDN akan memastikan pengawal keselamatan asing dari negara sumber yang akan dibawa masuk ke negara ini mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan selain mempunyai kesihatan dan fizikal yang baik.

Menurutnya, sektor keselamatan di negara ketika ini menghadapi kekurangan kira-kira 20,000 ke 30,000 pekerja keselamatan dan kerajaan bersetuju untuk membuka peluang kepada negara sumber lain selain Nepal untuk sektor itu.

"Kita setuju dengan negara sumber lain seperti Bangladesh, Pakistan dan sebagainya tapi ada kriteria tertentu perlu dipatuhi iaitu mestilah mempunyai pengalaman dalam sektor berkenaan sama ada pernah bekerja dengan pihak berkuasa masing-masing atau pun syarikat keselamatan di negara mereka.

"Kriteria pemilihan amat ketat sebab kita nak pastikan mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ini bukan hanya sihat tubuh badan tetapi tahu undang-undang juga," katanya.

Katanya, Malaysia memerlukan 150,000 pengawal keselamatan secara keseluruhan dengan 60,000 orang dari negara luar manakala selebihnya adalah rakyat tempatan.

Sebelum ini, KDN mencadangkan untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Susulan itu, Hamzah dilaporkan berkata, KDN sudah memulakan rundingan dengan negara sumber pekerja asing bagi sektor keselamatan selain Nepal selepas keputusan dasar berhubung cadangan membuka peluang kepada negara lain itu dipersetujui kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 6:22 PM