WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dimuktamadkan dan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 Tahun 2022 yang dijadual bermula pada 28 Februari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu RUU berkenaan disegerakan.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pandangan semua pihak, Jawatankuasa Teknikal berunsur bipartisan ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi Dan Kestabilan Politik yang dianggotai lapan wakil, masing-masing empat daripada kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

"Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Bilangan 3 Tahun 2022 antara kerajaan dan PH, semalam.

"Jawatankuasa Teknikal ini akan bertemu untuk memperincikan perkara dasar dan kerangka perundangan dicadangkan, minggu depan.

"Persetujuan ini adalah komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan perkara dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani Kerajaan Persekutuan serta PH pada 13 September 2021, dilaksanakan seperti ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan menghantar notis cadangan usul RUU Hibrid kepada Dewan Rakyat, pada November lalu.

RUU berkenaan meliputi dua matlamat utama iaitu memecat wakil rakyat lompat parti dan pelaksanaan mekanisme pilihan raya semula untuk membolehkan pengundi memecat Ahli Parlimen.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), seramai 39 Ahli Parlimen keluar dari parti hingga mengakibatkan kerajaan PH runtuh pada awal 2020 dan berlaku perubahan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 3:57 PM