Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan sijil kepada penerima anugerah Berbudi Tiga Kebaikan pada Majlis Perasmian Sambutan Perayaan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen Jenjarom Kuala Langat hari ini. FOTO BERNAMA
Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan sijil kepada penerima anugerah Berbudi Tiga Kebaikan pada Majlis Perasmian Sambutan Perayaan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen Jenjarom Kuala Langat hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Satu pertemuan khas mengenai penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di Selangor susulan peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertemuan itu turut membabitkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membincangkan isu kesihatan termasuk HFMD.

Amirudin berkata, setakat ini beliau belum memperoleh maklumat terperinci dan laporan terbaharu mengenai penyakit terbabit.

"Kita akan bermesyuarat dengan JKNS minggu ini bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD.

"Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Semanis Aidilfitri Bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 6,748 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh Selangor dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dilaporkan berkata, daripada bilangan berkenaan, empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya akan meminta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi membincangkan isu berkenaan kelak.

"Bagaimanapun, ia bergantung sepenuhnya kepada tindakan dan saranan lanjut oleh JKNS kelak.

"Kita tahu kes penyakit berjangkit amat membimbangkan dan berharap ia terkawal," katanya.

Beliau berkata, sesi mesyuarat khas itu turut akan memfokuskan isu Covid-19, denggi dan penyakit rabies.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 9:18 PM