KEADAAN Honda City yang dinaiki lima pelajar USAS. FOTO Bernama
KEADAAN Honda City yang dinaiki lima pelajar USAS. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kemalangan maut membabitkan lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) semalam berlaku di kawasan kadar pencahayaan berada pada tahap minimum di waktu malam dan lokasi pembinaan.

Justeru, Miros akan menjalankan kajian dengan meneliti aspek pengurusan tapak pembinaan, pergerakan kenderaan yang terbabit dalam kerja pembinaan dan corak pemanduan.

Ketua Pengarah Miros, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, melalui video tular kamera papan pemuka kenderaan belakang, jelas menunjukkan kejadian terjadi apabila lori melanggar belakang kereta mangsa yang mengakibatkan lima maut.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika semua pemandu terutama yang mengekori kenderaan mengamalkan corak pemanduan selamat.

"Ini termasuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan bagi membolehkan pemandu belakang mempunyai masa dan jarak tindak balas yang mencukupi tatkala berlaku kecemasan jika kenderaan hadapan berhenti atau memperlahankan pergerakan," katanya menerusi kenyataan kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ia bukanlah satu perkara yang baru yang mana elemen pemanduan dengan mengekalkan jarak selamat memang diajar dalam silibus institut memandu lagi.

"Isu yang kedua adalah daripada segi pematuhan had laju. Pengguna jalan raya secara umumnya perlu sentiasa mematuhi had laju ditetapkan termasuklah apabila melalui kawasan pembinaan yang mana had laju sementara akan dipaparkan," katanya.

Menurutnya, had laju sementara adalah lebih rendah berbanding had laju umum dengan mengambil kira risiko yang wujud di kawasan pembinaan berkenaan.

Katanya, pemanduan pada waktu malam dengan kadar pencahayaan yang minimum juga akan mendatangkan kesan kepada pemandu dalam mengandaikan kelajuan serta jarak kenderaan di hadapan.

"Oleh sebab itu, aspek jarak selamat dan pematuhan had laju perlu lebih dititikberatkan pada waktu sebegini.

"Kegagalan pemandu berbuat demikian, ditambah juga dengan faktor manusiawi yang lain seperti kelesuan serta pemanduan tidak fokus akan meningkatkan risiko kemalangan.

"Impak besar yang dihasilkan oleh pelanggaran dengan kenderaan berat akan menyebabkan isu 'crash compatibility' yang mana kenderaan lebih kecil akan mengalami kegagalan struktur lebih serius termasuk komponen kritikal seperti tangki dan saluran minyak yang seterusnya akan membawa kepada risiko kebakaran," katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kejadian seumpamanya daripada berulang, pemandu perlu sentiasa mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan hadapan, sentiasa peka dan patuh kepada had laju serta persekitaran.

Katanya, syarikat pengendali kenderaan perdagangan juga perlu cakna dengan aspek keselamatan dengan mengamalkan penyelenggaraan kenderaan secara berkala, serta pemilihan dan pemantauan ke atas pemandu agar tidak mendatangkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 6:01 PM