12,985 kemalangan sejak 29 April lalu.
12,985 kemalangan sejak 29 April lalu.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sebanyak 135 kemalangan maut membabitkan 141 kematian direkodkan di seluruh negara sepanjang lapan hari Op Selamat diadakan bermula 29 April lalu.

Sepanjang tempoh itu juga, 12,985 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Faktor melebihi had laju, memandu dalam keadaan letih dan ingin cepat sampai ke destinasi menjadi antara faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Biarpun pelbagai kempen serta kesedaran dilaksanakan sejak bertahun lalu, namun masih wujud sikap pengguna jalan raya mengambil acuh tidak acuh soal keselamatan ketika memandu.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF MADYA DR MUHAMAD NAZRI BORHAN dan DR AHMAD NAZRUL HAKIMI IBRAHIM berkongsi dapatan mereka berkaitan isu keselamatan jalan raya ini bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Anggaran kenderaan yang membanjiri lebuh raya utama negara sempena Aidilfitri?

Sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka membanjiri lebuh raya dan jalan raya pada musim perayaan ini.

Peningkatan mendadak bilangan kenderaan berbanding hari biasa bukan saja menyumbang kepada kesesakan jalan raya terutama di lebuh raya dan jalan Persekutuan di seluruh negara.

Majoriti rakyat Malaysia sangat teruja untuk menyambut perayaan Aidilfitri pada tahun ini selepas dua tahun (2020 dan 2021) tidak dapat menyambut perayaan ini seperti kelaziman disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Keterujaan ini tidak hanya bagi masyarakat yang beragama Islam, malahan penganut agama lain turut mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman sepanjang cuti panjang perayaan ini.

Trend kemalangan terutama ketika musim perayaan?

Menurut statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), kadar kemalangan jalan raya semasa musim perayaan menunjukkan peningkatan pada saban tahun.

Pada 2019, sebanyak 24,461 kemalangan direkodkan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Angka ini paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu 20,458 pada 2015, 20,982 pada 2016, 22,402 pada 2017 dan 22,411 pada 2018.

Malaysia menyaksikan penurunan angka kemalangan di musim perayaan pada 2020 dan 2021 disebabkan oleh pelbagai sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa bagi mengawal penularan Covid-19.

Faktor penyumbang kemalangan?

Secara umumnya, kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada tiga faktor iaitu sikap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, keadaan kenderaan serta keadaan jalan raya.

Faktor utama yang dilaporkan menyumbang kepada statistik kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan adalah sikap pemandu dan penunggang.

Oleh kerana terlampau teruja untuk sampai ke destinasi, pemandu kenderaan dan penunggang motosikal sering mengabaikan aspek keselamatan jalan raya.

Apakah faktor memandu melebihi had laju menjadi punca utama kemalangan?

Aspek keselamatan yang sering diabaikan dan menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya antaranya adalah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar serta bertukar lorong sewenang-wenangnya.

Selain daripada pemanduan berbahaya, memandu dalam keadaan kurang rehat, mengantuk dan keletihan turut menjadi punca kemalangan.

Hal ini biasanya membabitkan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang memandu serta menunggang pada jarak jauh.

Tip perjalanan selamat?

Dapatkan rehat secukupnya terutama sebelum memulakan perjalanan yang panjang.

Sekiranya tidak cukup rehat, elok ditangguhkan perjalanan itu.

Selain itu, pemandu juga dicadangkan supaya berhenti rehat setiap dua jam perjalanan untuk meningkatkan tahap kesegaran dan dapat memandu dengan fokus, cekap serta selamat.

Sikap untuk cepat sampai ke destinasi antara penyumbang kepada kecuaian di atas, terutama memandu laju dan sanggup memperjudikan keselamatan dengan meneruskan pemanduan, meskipun fizikal sudah keletihan serta mengantuk.

Secara ringkas, berikut tip pemanduan selamat di musim perayaan:

1. Rancang perjalanan - periksa kenderaan, kesesuaian pemilihan laluan, waktu perjalanan dan persekitaran trafik serta kestabilan fizikal dan mental pemandu sebelum membuat perjalanan.

2. Kawal emosi di jalan raya.

3. Tanamkan sifat sabar dan berhemah.

4. Sentiasa patuhi had laju.

5. Patuhi peraturan keselamatan semasa menukar lorong.

6. Patuhi peraturan jalan raya di persimpangan.

7. Pemakaian tali pinggang keledar.

8. Pemakaian jaket keselamatan untuk penunggang dan pembonceng motosikal.

Pesan buat pengguna jalan raya?

Jadilah pemandu yang berhemah. Patuhilah peraturan jalan raya terutamanya tidak memandu melebihi had laju kerana peribahasa Melayu ada menyebut 'takkan lari gunung dikejar'.

Walaupun tidak memandu laju, kita akan tetap sampai ke destinasi. Begitu juga, jika keletihan atau mengantuk, lebih baik berehat seketika di kawasan yang selamat seperti hentian rehat dan rawat (R&R).

Selain daripada faktor manusia iaitu pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, kenderaan yang digunakan juga perlu diperiksa dengan baik.

Lakukan pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan. Pastikan tayar dalam keadaan baik serta tekanan angin sentiasa mencukupi, termasuklah pada tayar ganti.

Jangan sekali-kali menggunakan tayar yang bunganya sudah haus atau pun botak.

Selain tayar, brek dan lampu isyarat juga haruslah dipastikan berfungsi dengan baik.

Secara umumnya, faktor sikap dan cara pemanduan kenderaan atau menunggang motosikal serta faktor keadaan kenderaan perlu diberi penekanan semasa hendak membuat perjalanan yang panjang terutamanya di musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 8:00 AM