Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Sebanyak RM1 juta diberikan Dana Yayasan Undang Luak Johol (YULJ) kepada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangun sosio-ekonomi masyarakat Johol serta tanah adat terbiar di daerah ini.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata, dana itu akan digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemberian biasiswa kepada anak-anak Johol yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PHD).

Selain itu dana yang disifatkan cukup besar bagi sebuah universiti penyelidikan juga bertujuan membangunkan tanah adat terbiar dalam kawasan wilayah Johol yang akan membabitkan kerjasama enam fakulti di UKM.

"Insya-Allah dengan kerjasama daripada semua pihak terbabit, UKM yakin kita dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam membangunkan tanah adat terbiar ini yang akan membabitkan kerjasama dengan syarikat atau pemegang taruh yang berminat.

"Selain itu, Dana Endowmen ini juga akan digunakan untuk memberi peluang kepada anak-anak Johol yang berhasrat dan berkelayakan melanjutkan pengajian dalam bidang strategik khususnya yang ditawarkan di UKM.

"Dengan jumlah Dana Endowmen ini, kami yakin ianya akan dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti tetapi juga kepada anak-anak di wilayah Undang Luak Johol ini," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Undang Luak Johol di Balai Undang Luak Johol di sini, tadi.

DATUK Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah (baju hijau) menyaksikan MoU antara UKM dengan Yayasan Undang Luak Johol di Johol hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
DATUK Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah (baju hijau) menyaksikan MoU antara UKM dengan Yayasan Undang Luak Johol di Johol hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif YULJ, Md Ghazali Md Yasin; Ahli Pemenang Amanah YULJ, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Pengarah Hadhari UKM, Prof Dr Fariza Md Sham.

Majlis itu disaksikan Datuk Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.

Mohd Ekhwan berkata, Dana Endowmen sebanyak RM1 juta itu sebagai permulaan dalam menjayakan usaha berkenaan.

Beliau berkata, fokus utama UKM adalah membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Johol menerusi usaha menarik lebih ramai pelabur pasca pandemik COVID-19 daripada pelabur luar yang berminat membangunkan kawasan tanah adat terbiar berkenaan.

Katanya, antara sektor dikenal pasti termasuk pertanian dan sektor tertentu yang memerlukan kepakaran yang tinggi.

"UKM akan menggunakan kepakaran yang sedia ada membantu pemilik tanah adat terbiar ini untuk kita bangunkan dengan projek ekonomi tanpa memusnahkan ekosistem kawasan tanah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 3:26 PM