ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan pasangan suami isteri yang tersepit dalam kenderaan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan pasangan suami isteri yang tersepit dalam kenderaan. FOTO ihsan bomba
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pasangan suami isteri maut manakala lima mangsa lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 73 Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik, berdekatan Banjaran Titiwangsa, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, pasangan berkenaan yang hanya dikenali sebagai Azmi dan Rohani berusia anggaran 40-an meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua anak pasangan itu masing-masing seorang lelaki cedera parah dan seorang perempuan cedera ringan, manakala tiga mangsa lain turut cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.54 petang.

Katanya, sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jeli bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan selepas dimaklumkan ada mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

"Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Nissan Latio dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

"Terdapat dua mangsa tersepit di dalam Nissan Latio dan disahkan meninggal dunia. Anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas yang mengambil masa selama lima minit.

"Mayat diserahkan kepada polis manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 5:34 PM