MD Yunus Baba (kiri) mencium isterinya di rumah mereka di Lendu, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar
MD Yunus Baba (kiri) mencium isterinya di rumah mereka di Lendu, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: "Syukur atas peluang kedua ini selepas nyawa saya hampir putus akibat jangkitan Covid-19. Jika tidak, mungkin Aidilfitri tahun ini tidak dapat disambut," ujar Md Yunus Baba, 63 dari Kampung Lendu di sini.

Baginya, berada dalam tahap lima Covid-19 dan ditidurkan dua minggu akibat kesukaran bernafas adalah pengalaman antara hidup dan mati.

"Komplikasi wabak berkenaan amat menakutkan. Saya bersyukur kembali pulih dan mampu menikmati semula kehidupan walaupun sudah menempuh saat ajal," katanya yang dimasukkan ke hospital tahun lalu.

Menurutnya, sukar dibayangkan semula detik diberi peluang berinteraksi dengan keluarga menerusi panggilan video sebelum ditidurkan.

"Saya merasa nyawa ketika itu hampir ke penghujung. Namun Allah SWT maha berkuasa kerana ajal maut adalah kehendakNya," katanya.

Menurutnya, dia terkesan berikutan terdapat rakannya yang meninggal dunia selepas ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 tahun lalu.

"Mengalir air mata meraikan Syawal kali ini kerana ia bagaikan mimpi. Saya masih bernafas walaupun komplikasi akibat jangkitan covids-19 masih dirasai sehingga kini.

"Syukur tidak terhingga. Saat-saat kritikal itu amat menginsafkan, tambahan ketika itu juga menantu lelaki saya juga positif dan turut ditidurkan hampir sebulan," katanya.

Menurutnya dia cuba kembali aktif berkebun dan mengisi aktiviti menyihatkan sebagai langkah pemulihan.

Yunus berkata, keseluruhan sembilan ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan dua cucunya positif termasuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka ( MITC) tahun lalu.

Dia berkata, pengalaman didatangi ular hitam, harimau dan buaya ketika koma dahulu membuatkannya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.

Isterinya, Sabariah Majid, 58 pula berkata, pengalaman positif Covid-19 sukar digambarkan tambahan pula semua ahli keluarga termasuk anaknya yang mengandung juga mengalami nasib sama.

Apapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga kini bebas daripada wabak berkenaan malah negara juga sudah berada pada fasa endemik yang lebih tenang dan selamat.

Dia berkata, semua ahli keluarga dapat berkumpul semula selepas dua tahun tidak dapat merayakan Aidilfitri akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 4:11 PM