Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 4.5 juta kenderaan dianggarkan akan memasuki ibu kota hari ini selepas masing-masing pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, daripada jumlah itu 1.2 juta pengguna dianggarkan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

"Semalam berlaku peningkatan trafik sebanyak 2.65 peratus di seluruh lebuh raya iaitu 3.59 juta dilaporkan mula masuk ke ibu kota.

"Pada dasarnya berlaku trend pergerakan pulang ke ibu kota bermula semalam," katanya kepada Harian Metro.

Namun katanya, aliran trafik dalam tempoh empat hari ini belum mencecah 5.5 juta seperti yang berlaku pada 29 April lalu.

"Dijangka berlaku peningkatan aliran luar biasa bermula esok sehingga Ahad ini. JSPT sudah membuat persiapan menerusi Op Lancar dengan koordinasi di setiap kontinjen dan daerah," katanya.

Semalam, aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke ibu kota mengalami kesesakan teruk berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Aidilfitri.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan setakat 10 malam tadi, di bahagian utara, trafik menghala ke Kuala Lumpur di Plus dilaporkan sesak di Alor Setar sehingga Sungai Petani Selatan, Kedah, dan di Perak kesesakan berlaku di Bukit Merah menuju ke Changkat Jering, Bukit Berapit menuju ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Tapah ke Sungkai.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Di selatan pula trafik di lebuh raya Plus dilaporkan sesak di Johor dari Pagoh ke Jasin, Melaka dan Simpang Ampat ke Seremban, Negeri Sembilan, bagi trafik dari arah pantai timur menghala ke ibu kota trafik sesak di laluan Karak menuju ke Bentong sehingga ke Lentang, trafik juga sesak di Plaza Tol Gombak menuju ke Kuala Lumpur.

Bagi arah ke utara, trafik di lebuh raya Plus dari Tapah ke Ipoh, Terowong Menora ke Bukit Berapit dan Bandar Baharu ke Jawi mengalami kesesakan sementara arah ke selatan kesesakan berlaku dari Pagoh ke Yong Peng dan Simpang Renggam ke Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 1:44 PM