BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama petang ini, berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti sempena perayaan Krismas dan hujung minggu.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat 5.12 petang ini, aliran trafik perlahan dari Sungai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan, Permatang Pauh ke Perai, Juru ke Bukit Tambun, Bukit Gantang ke Bukit Berapit dan Terowong Menora menghala Ipoh.

Aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari Ipoh Selatan ke Gopeng, kawasan mendaki Gua Tempurung, Tapah ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah dan Bidor ke Sungkai.

"Kemalangan kereta di Kilometer 241.7 arah Utara (Pedas/Linggi ke Senawang) pula menyebabkan trafik sesak 24 km dari Restoran Jejantas Ayer Keroh ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di kawasan pantai timur bergerak perlahan sebelum masuk ke Plaza Tol Kuala Terengganu susulan keadaan cuaca dan hujan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, aliran trafik juga perlahan dari Bentong Timur ke Plaza Tol Bentong dan selepas Plaza Tol Bentong ke Lentang.

Tinjauan di Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak menghala ke ibu kota mendapati peningkatan bilangan kenderaan warga kota yang mula pulang selepas bercuti umum dan cuti hujung minggu. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Tinjauan di Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak menghala ke ibu kota mendapati peningkatan bilangan kenderaan warga kota yang mula pulang selepas bercuti umum dan cuti hujung minggu. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 6:29 PM