Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Tiket bas untuk perjalanan pulang menyambut perayaan Aidilfitri dari negeri ini hanya tinggal 50 peratus sahaja lagi.

Bagaimanapun, tiket bas untuk perjalanan ke Utara membabitkan Alor Setar, Sungai Petani, Kedah dan Perlis sudah habis terjual termasuk bas tambahan.

Pengurus Kaunter Sistem Tiket Berpusat (CTS), Muhammad Zamzam Musa, 42, berkata 50 peratus tiket yang ada sekarang adalah tiket tambahan yang baru dibuka Ahad lalu.

Beliau berkata, jika ikutkan tiket bas untuk perayaan ini ke semua destinasi sudah habis dijual sejak awal Ramadan lagi.

"Kalau ikutkan semua tiket perayaan untuk semua destinasi ke Utara, Kota Bharu termasuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sudah habis terjual.

"Tiket 50 peratus yang ada kini adalah tiket bas tambahan dan kita jangkakan ia habis dijual dalam minggu ketiga Ramadan," katanya yang ditemui di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini, semalam.

Muhammad Zamzam berkata, pihaknya mendapati golongan pelajar antara yang paling ramai membeli tiket untuk pulang menyambut hari raya.

Menurutnya, pihaknya juga menjangkakan lebih 2,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan awam di negeri ini.

ZAMZAM melihat kakitangannya memeriksa tiket di kaunter Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
ZAMZAM melihat kakitangannya memeriksa tiket di kaunter Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini. FOTO Faizul Azlan Razak

"Setakat ini kita tidak pasti banyak mana jumlah tiket bas tambahan kerana ia bergantung atas permintaan pengusaha bas.

"Selain penumpang membeli tiket di kaunter, mereka juga boleh mendapatkannya menerusi dalam talian," katanya.

Ditanya mengenai ulat tiket, Muhammad Zamzam berkata sejak CTS diwujudkan tiada lagi kegiatan berkenaan kerana semua tiket dikawal dan hanya dijual di kaunter CTS.

"Setakat ini, isu ulat tiket tidak lagi berlaku di negeri ini selepas CTS diwujudkan sejak Ogos 2021 di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 1:01 PM