Ibu dan bayinya dalam kemalangan di Persiaran Timur dari arah Kajang menghala Pinggiran Putra, Puchong.
Ibu dan bayinya dalam kemalangan di Persiaran Timur dari arah Kajang menghala Pinggiran Putra, Puchong.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang wanita dan bayinya maut selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Persiaran Timur dari arah Kajang menghala Pinggiran Putra, Puchong, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang, suri rumah Amalina Azman, 32, meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala bayinya, Dzul Qarnain berusia dua bulan meninggal dunia di tempat kejadian.

Suami wanita itu, Mohd Iqbal Kamaruddin, 34, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian, Mohd Iqbal yang memandu kereta Perodua Myvi dari Shaftbury Putrajaya, Presint 1, hilang kawalan lalu melanggar penghadang air (water barrier) di bahu kiri jalan dan terbabas.

Menurutnya, ketika kemalangan, lokasi jalan raya mempunyai tiga lorong dan tiga hala manakala jalan dipisahkan dengan garisan putih dengan keadaan cuaca baik serta jalan cerah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:42 PM