Penguatkuasa Kawalselia Padi Beras MOA bersama lori dan beras yang disita untuk siasatan.
Penguatkuasa Kawalselia Padi Beras MOA bersama lori dan beras yang disita untuk siasatan.
Yusmizal Dolah Aling


HAMPIR tiga tan metrik beras bernilai RM22,000 dirampas penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini kerana mengesyakinya diperolehi daripada sumber diragui.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, pihaknya merampas beras terbabit dalam Op Smuggle yang dijalankan di Klang dan Kuala Lumpur selepas menerima maklumat orang awam dan hasil risikan anggota penguat kuasa.

"Di lokasi pertama, kita rampas sebanyak 950 kilogram (kg) beras dan lokasi kedua sebanyak 925 kg.

"Kami turut merampas sebuah lori yang membawa muatan 900 kg lagi beras juga dari sumber tidak sah," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, kes berkenaan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) kerana tiada dokumen berkaitan beras berkenaan dan lori terbabit disita untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pemborong diingatkan supaya tidak mendapat bekalan beras daripada sumber yang tidak sah kerana ia menjadi satu kesalahan.

Katanya, beras boleh diperolehi daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:27 PM