BAYI lelaki berusia 53 hari yang waris serta keluarga kandungnya sedang dicari oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Kangsar. FOTO Ihsan JKM Daerah Kuala Kangsar
BAYI lelaki berusia 53 hari yang waris serta keluarga kandungnya sedang dicari oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Kangsar. FOTO Ihsan JKM Daerah Kuala Kangsar
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) mengesan waris atau keluarga bayi lelaki berusia 53 hari yang ditinggalkan dalam kotak di Bandar Baru Kuala Kangsar, di sini, pada 23 Oktober lalu.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Kangsar, Noralia Farida Zulkifli berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dan tindakan susulan dibuat mengikut undang-undang termasuk proses dokumentasi bayi itu.

Menurutnya, bayi berkenaan kini di bawah jagaan JKM menerusi perintah hak jagaan sementara dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kangsar terhadap Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) sehingga 30 Disember ini mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.

"JKM sudah memohon kebenaran daripada pihak mahkamah mengikut Seksyen 15 AKK 2001 pada 30 November lalu untuk melakukan siaran media.

"Jika masih tiada waris atau keluarga yang menuntut bayi itu, permohonan kepada mahkamah akan dibuat sekali lagi bagi membolehkan bayi berkenaan dijaga oleh OYLS sehingga berusia dua tahun menerusi perintah hak jagaan tetap.

"Manakala permohonan untuk diserahkan kepada keluarga angkat hanya dapat dilakukan selepas bayi itu berusia dua tahun," katanya.

Katanya, waris bayi itu diminta tampil atau menghubungi kakitangan Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Kangsar, Nor Hazlinda Mahamad di talian 05-7761198.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan peniaga kompleks niaga Bangunan UDA di Jalan Bendahara, Bandar Baru Kuala Kangsar menemui bayi itu yang dilahirkan pramatang serta masih bertali pusat ketika dijumpai kira-kira s9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 2:44 PM