Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan kebakaran di Sungai Lembing hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan kebakaran di Sungai Lembing hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Idris Musa


RAJA Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sedih baginda dengan kebakaran di Sungai Lembing, Kuantan hari ini.

“Dalam kita menyambut hari kemerdekaan, saya amat sedih dengan berita kebakaran di Sg Lembing...marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan,” ciap baginda melalui akaun Twitter hari ini.

Kejadian 1.30 pagi itu menyebabkan 20 rumah kedai, 11 rumah dan sebuah perpustakaan musnah.

Kejadian itu turut mengorbankan suami isteri warga emas, Ho Yuk Fun, 74, dan Chow Kim Mui, 70.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang mencemar duli meninjau lokasi dan menziarahi mangsa hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada semua mangsa.

Baginda juga menzahirkan kesedihan terhadap kematian suami isteri warga emas yang difahamkan terperangkap di rumah mereka, iaitu lokasi pertama kebakaran.

Dalam pada itu, Tunku Azizah berbangga dengan Tengku Hassanal Ibrahim yang mencemar duli ke lokasi terbabit.

Menurutnya, baginda baru berusia 24 tahun, begitu banyak perlu dipelajari namun membuktikan dirinya layak pada kedudukannya.

“Semoga Allah sentiasa membimbingnya dan memberikan kebijaksanaan...anakku!,” ciap baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:47 PM