GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Biarpun kerajaan melonggar serta memansuhkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19, orang ramai diingatkan supaya tidak leka terutama ketika menyambut Aidilfitri, minggu depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, setiap individu bertanggungjawab memastikan musim perayaan berkenaan tidak berakhir dengan kemudaratan.

"Kebebasan ini bukanlah bermakna kita sudah menang dalam peperangan melawan Covid-19 dan kita perlu pastikan perayaan ini tidak berakhir dengan kemudaratan.

"Walaupun tidak bergejala, kita berkemungkinan menjadi pembawa virus Covid-19.

"Amalkan dan lakukan ujian kendiri sebelum anda pulang ke kampung untuk pastikan ahli keluarga yang berisiko tinggi dilindungi daripada mendapat gejala teruk Covid-19," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini, selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Mengulas lanjut, Khairy menasihatkan, ibu bapa agar segera membawa anak masing-masing mendapatkan vaksin Covid-19 serta memastikan warga emas dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti mengambil dos penggalak.

"Bersama kita lindungi mereka dan nikmati perayaan ini dengan selamat, sihat dan sejahtera.

"KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dalam dan luar negara serta komited meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan.

"Bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ubat-ubatan termasuk anti-viral juga akan dipastikan mencukupi pada setiap masa," katanya.

Sementara itu, katanya, tiada lagi kenyataan akhbar mengenai status Covid-19 harian akan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, sebaliknya akan digantikan dengan laporan mingguan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 6:44 PM