Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 24 kluster baharu penularan Covid-19 dalam negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang dicatatkan di negara ini sejak pandemik bermula adalah sebanyak 2,308 kluster.

Menurutnya, jumlah kluster yang sudah tamat pula adalah sebanyak 1,607 kluster, manakala masih aktif dengan kebolehjangkitan membabitkan 701 kluster.

"KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan.

"Elakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).

"Amalkan 3W (amalkan Wash, Wear dan Warn). Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu.

"KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenai Covid-19.

Menurutnya, KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:33 PM