Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Keadaan air di Lata Y menjadi keruh adalah disebabkan berlakunya hujan lebat di bahagian atas kawasan berkenaan sehingga menghakis tebing-tebing sungai di kawasan sekitarnya.

Selasa lalu, satu status yang dimuat naik ke Facebook Kuala Krai Kini menyatakan Air Terjun Lata Y Kuala Krai terjejas akibat pembalakan di Hutan Simpan Sungai Rek, Kuala Krai.

Bagaimanapun, tinjauan yang dilalukan di kawasan sekitar Lata Y pada petang semalam mendapati keadaan Air Terjun Lata Y kembali pulih dan tidak lagi keruh seperti air 'teh beng' (teh ais).

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, pemantauan di Lata Y pada Khamis lalu mendapati keadaan air di kawasan berkenaan semakin pulih daripada kekeruhan yang ditularkan sebelum ini.

Katanya, semakan mendapati, terdapat dua lesen aktif pada masa ini yang berhampiran dengan kawasan Lata Y iaitu kelulusan projek pembangunan ladang hutan dengan anggaran jarak kedua-dua projek berkenaan, masing-masing kurang satu dan 1.2 kilometer (km).

"Walau bagaimanapun, hasil semakan, kedua-dua kawasan lesen ini sudah mendapat kelulusan Laporan Kajian Penilaian kesan kepada Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkenaan juga mematuhi segala syarat-syarat yang terkandung di dalam laporan EIA yang diluluskan.

"Pihak pelesen juga tidak melakukan sebarang tebangan pokok berhampiran dengan kawasan buffer zone (zon penampan) sungai seluas 50 meter (m), malah mereka juga sudah mengambil inisiatif untuk menambah seluas 10 m lagi bagi menjaga kawasan buffer zone dengan tidak melakukan sebarang tebangan di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PENGHULU Mukim Mengkebang, Abdullah Mustafa, (kanan) bersama penduduk kampung menunjuk keadaan air di Lata Y menjadi keruh disebabkan berlakunya hujan lebat di bahagian atas kawasan berkenaan sehingga menghakis tebing-tebing sungai di kawasan sekitar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENGHULU Mukim Mengkebang, Abdullah Mustafa, (kanan) bersama penduduk kampung menunjuk keadaan air di Lata Y menjadi keruh disebabkan berlakunya hujan lebat di bahagian atas kawasan berkenaan sehingga menghakis tebing-tebing sungai di kawasan sekitar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Abdul Khalim berkata, sebagai langkah kawalan, pihaknya sudah mengarahkan pihak pelesen supaya memberhentikan kerja-kerja pengusahasilan bagi lesen-lesen aktif berkenaan.

"Selain itu, pelesen juga diarahkan supaya menanam pokok kekacang penutup bumi d ibahagian tebing jalan yang terhakis bagi mengelakkan keadaan hakisan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.

"Dalam masa sama, pihak kami sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengkaji semula untuk mewartakan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.

"Kami juga bercadang untuk mewartakan mana-mana kawasan sensitif di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sungai Rek iaitu lokasi yang mudah tercemar disebabkan aktiviti perhutanan dijadikan sebagai kawasan tadahan air," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan air keruh di Lata Y berpunca dari keadaan iklim semasa iaitu hujan yang kerap terjadi pada waktu petang di bahagian atas seterusnya menghakis tebing sungai di samping terdapat juga aktiviti perhutanan.

"Kawasan yang dikenal pasti mempunyai kesan kepada alam sekitar disyorkan tidak akan dilaksanakan aktiviti pengusahasilan sama sekali memandangkan selama ini pihak jabatan melaksanakan amalan pengurusan hutan secara berkekalan berasaskan kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:56 AM