MAQIS Pulau Pinang merampas lebih sembilan tan produk daging babi tin dari China bernilai RM453,600 di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara. FOTO ihsan MAQIS Pulau Pinang
MAQIS Pulau Pinang merampas lebih sembilan tan produk daging babi tin dari China bernilai RM453,600 di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara. FOTO ihsan MAQIS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad

[email protected]

Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas lebih sembilan tan produk daging babi dalam tin dari China bernilai RM453,600 selepas pemeriksaan ke atas satu kontena di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS negeri, Muhammad Ikram Abd Talib, berkata ketika pihaknya mendapati terdapat satu kontena membawa masuk sebanyak 1,125 kotak produk babi ke pelabuhan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 9,180 kilogram produk babi yang telah ditinkan dianggarkan bernilai RM453,600 dari negara China tidak mempunyai permit import MAQIS.

"Berikutan itu, kesemua produk dagangan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta yang sama.

"Tindakan penguatkuasaan perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.

"Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan seumpamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:02 PM