Zuliaty Zulkiffli

Yan: Polis Kedah akan memohon bantuan helikopter dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk melakukan pemantauan melalui udara di kawasan operasi pencarian dua mangsa yang masih hilang berhampiran Gunung Jerai, di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berada di lokasi pencarian dan turut membantu dalam operasi pencarian.

Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan 308 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi yang dibahagikan kepada beberapa sektor pencarian mangsa yang hilang sejak Rabu lalu akibat tragedi kepala air.

Selain itu katanya, khidmat anjing pengesan K-9 PDRM turut digunakan untuk pencarian dua mangsa yang masih hilang di Titi Hayun dan Salak Denai.

"Kejadian itu turut menyebabkan banjir di 18 kampung di tiga daerah iaitu di enam kampung di daerah Kuala Muda dan sembilan Kampung di Yan.

"Kebanyakan kampung di kawasan Yan mengalami banjir yang turut disertai lumpur dan tiga kampung di Bandar Baharu pula dinaiki banjir kilat," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan di Pusat Kawalan Operasi di Titi Hayun, hari ini.

DATUK Kamarul Zaman Mamat (kanan) dan Sayani Saidon melihat pemantauan melalui dron di sekitar kawasan Titi Hayun dan Salak Denai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
DATUK Kamarul Zaman Mamat (kanan) dan Sayani Saidon melihat pemantauan melalui dron di sekitar kawasan Titi Hayun dan Salak Denai. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Terdahulu, beliau turut melakukan tinjauan di kawasan operasi dan melakukan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkaitan operasi yang sedang dijalankan.

Kamarul Zaman berkata, kebanyakan mangsa di tiga daerah yang terjejas akibat banjir ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk keselamatan.

Bagaimanapun, setakat ini semua PPS di Kuala Muda dan Bandar Baharu sudah ditutup manakala PPS di Yan masih aktif walaupun tiada mangsa yang berada di pusat pemindahan berkenaan.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat mangsa meninggal dunia manakala dua masih hilang selepas dihanyutkan air deras akibat kepala air yang berlaku di Gunung Jerai pada jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, operasi pencarian dua mangsa berkenaan masih diteruskan dan disambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 8:31 AM