LELAKI yang tersangkut di pokok selepas melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
LELAKI yang tersangkut di pokok selepas melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman

Hulu Selangor: Seorang lelaki warga Pakistan yang melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) maut selepas ditemukan tersangkut pada pokok balak di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 4.50 petang itu berlaku apabila mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44, berasal dari Subang Jaya, Selangor tersangkut pada pokok balak dengan ketinggian 12 meter di tepi cerun bukit.

Difahamkan, mangsa patah kaki dan mengalami pendarahan ketika melakukan aktiviti terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, akses ke pokok balak itu melalui laluan mendaki (trek hiking) sejauh 100 meter dari tapak 'take off' Bukit Batu Pahat.

"Mangsa yang mengalami kecederaan didapati tidak sedarkan diri dan usaha menurunkannya dari pokok dilakukan dengan kadar segera," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya mengambil masa selama kira-kira dua jam untuk menurunkan mangsa dari pokok balak terbabit.

Katanya, Orang Asli di sekitar kawasan kejadian turut membantu pihak bomba.

"Mereka memanjat pokok balak dan mengikat mangsa menggunakan 'webbing paragliding' bagi mengelakkan mangsa dari terjatuh.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai semasa tergantung. Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 8:36 PM