MOHAMAD Sabu selepas pembentangan Belanjawan 2020, semalam. FOTO Aizuddin Saad
MOHAMAD Sabu selepas pembentangan Belanjawan 2020, semalam. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Azam Shah Yaacob


KEMENTERIAN Pertahanan merakam setinggi terima kasih atas peningkatan peruntukan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, semalam.

Selaras hasrat memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara, sebanyak RM15.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal siap siaga sepanjang masa.

Peruntukan itu termasuklah bagi meningkatkan mobiliti ATM dalam menangani ancaman baru khususnya di kawasan perairan Sabah seperti dengan pemerolehan Bot Pemintas Laju (FIS) dalam usaha memastikan ia kekal selamat dan terhindar daripada sebarang pencerobohan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, jumlah peruntukan itu menjadikan Kementerian Pertahanan sebagai penerima kelima terbesar Belanjawan 2020.

Katanya, jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak RM1.67 bilion berbanding RM13.9 bilion diterima tahun ini.

“Daripada jumlah yang diumumkan itu, sebanyak RM12.5 bilion adalah peruntukan Belanja mengurus manakala RM3.08 bilion adalah Belanja Pembangunan.

“Malah, peruntukan itu juga tidak mengenepikan kebajikan veteran ATM yang berpencen atau tidak yang menerima Bantuan Harapa Negara di mana mereka mendapat manfaat dengan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM250,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tanpa mengenepikan jasa serta pengorbanan anggota tentera, bayaran secara sekali bayar (one-off) RM500 turut diberikan kepada 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM35 juta.

Katanya, pembayaran yang akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) itu akan mula dilaksana sebaik Kementerian Pertahanan menerima peruntukan itu biarpun tempoh kuat kuasanya pada 1 Januari tahun hadapan.

“Elaun itu hanya akan dibayar kepada penerima PJM yang masih hidup pada tarikh ia dikuat kuasakan dan terhenti apabila penerimanya meninggal dunia

“Malah, jika penerima PJM itu masih dalam perkhidmatan, elaun hanya dibayar sebaik mereka tamat perkhidmatan,” katanya.

Kerajaan juga memperuntukkan RM150 juta bagi membaiki dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi memastikan mereka mendapat penginapan lebih selesa serta selamat.

Selain itu, sama seperti penjawat awam yang lain, warga tentera juga akan menerima Bantuan Khas Kewangan RM500 bagi Gred 56 dan ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 7:25 PM