LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Melvin Joni


Kuching: Buaya seberat 800 kilogram yang ditemui sesat di dalam longkang di belakang sebuah sekolah di Limbang terpaksa dimatikan berikutan kecederaan serius akibat kesan tembakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohamad Aton meluahkan kekecewaannya terhadap kejadian itu kerana kurangnya kesedaran orang ramai mengenai perlindungan hidupan liar.

Katanya, kejadian itu kini diklasifikasikan sebagai kes membunuh spesies haiwan yang dilindungi.

"Buaya ini sepatutnya tidak dibunuh sebagai mana yang dinyatakan dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengawal Hidupan Liar berkata, sampel tulang reptilia itu telah diambil untuk siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, orang awam yang mengawasi buaya berkenaan ketika ditangkap diminta melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

"Kami tidak mahu masyarakat membunuh spesies yang dilindungi tanpa melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat yang tinggal berhampiran sungai untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri kerana ia merbahaya.

Katanya, orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang kejadian mengenai penemuan haiwan yang dilindungi kepada pejabat SFC yang berdekatan.

"Antara talian SFC yang dapat dihubungi termasuklah 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) atau 019-8290994 (Miri)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 9:47 PM