KAKITANGAN SFC menyelamatkan beruang matahari yang disimpan secara haram di sebuah premis di Sibu.
KAKITANGAN SFC menyelamatkan beruang matahari yang disimpan secara haram di sebuah premis di Sibu.
Garret Dawum


Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyelamatkan lebih 20 haiwan liar pelbagai spesies dalam serbuan di sebuah premis di sini, pada 1 Oktober lalu.

Serbuan jam 12.15 tengah hari itu dijalankan selepas premis terbabit dipercayai menyimpan haiwan liar secara haram.

Antara yang diselamatkan ialah burung kenyalang yang juga haiwan terlindung sepenuhnya, beruang matahari, burung kakak tua, binturong, landak, kura-kura, helang, merpati, buaya, burung tiong emas, tupai, beruk.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, disebabkan pemilik gagal menunjukkan sebarang lesen atau permit menyimpan haiwan itu, kesemua haiwan terbabit kini berada di bawah jagaan SFC.

“Bagi menjamin kebajikan, SFC akan menghantar haiwan itu ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk dipelihara sementara sebelum dilepaskan ke habitat asal.

“Pemilik seharusnya mendapatkan pengesahan berkenaan haiwan terbabit kerana menyimpan spesies terlindung secara haram boleh dipenjara satu tahun dan didenda RM10,000, jika sabit kesalahan.

“Malah, menyimpan spesies terlindung sepenuhnya pula boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 dan penjara lima tahun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan perdagangan hidupan liar digalakkan membuat laporan menerusi hotline SFC di talian 016-8565564 / 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449 /019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994 /018-9799778 (Miri).

KAKITANGAN SFC turut menyelamatkan burung helang yang disimpan secara haram.
KAKITANGAN SFC turut menyelamatkan burung helang yang disimpan secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:00 AM