WAN Junaidi ketika program Pemukiman Agensi Di Bawah Kluster Parlimen Dan Undang-Undang. FOTO Genes Gulitah
WAN Junaidi ketika program Pemukiman Agensi Di Bawah Kluster Parlimen Dan Undang-Undang. FOTO Genes Gulitah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diyakini dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan rang undang-undang berkaitan dalam tempoh sebulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh pakar undang-undang yang berpengalaman bagi menggubal undang-undang berkenaan.

"Bagaimanapun, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu tidak boleh mendedahkan sebarang perbincangan jawatankuasa berkenaan.

"Ini kerana ia tidak dibolehkan oleh peraturan Dewan Rakyat itu sendiri kecuali laporan itu sudah dibentangkan dalam Dewan Rakyat, maka ia menjadi dokumen awam dan barulah saya boleh membentangkannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Pemukiman Agensi di bawah Kluster Parlimen dan Undang-undang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Wan Junaidi berkata, mesyuarat pertama bagi jawatankuasa yang dianggotai 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu sudah diadakan pada 15 April lalu, manakala beberapa siri mesyuarat lagi akan diadakan bermula esok.

Mengulas mengenai cadangan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof supaya jawatankuasa itu dipengerusikan oleh ahli Parlimen pembangkang agar bersifat berkecuali, beliau memaklumkan menerima arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk mempengerusikan jawatankuasa itu.

"Keputusan itu dibuat hasil perbincangan Perdana Menteri bersama pemimpin Pakatan Harapan dan wakil ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat pada 11 April lalu," katanya.

Selain itu, beliau turut menyasarkan rang undang-undang mengenai cadangan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan Skim Perkhidmatan Parlimen dan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan sendiri bagi Parlimen Malaysia dapat dibahaskan dalam sesi sidang Parlimen pada Julai ini.

"Selaras dengan Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik, Transformasi Parlimen menjadi satu agenda utama saya.

"Malah, saya sudah membentangkan perkembangan mengenai cadangan pindaan undang-undang itu kepada Jemaah Menteri," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi memaklumkan turut mengulas mengenai kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan dosa bagi peguam membela pihak yang diketahui bersalah.

Menurutnya, sebagai pengamal undang-undang, seorang peguam tidak dapat menentukan atau mengetahui sama ada individu yang dibela sebagai bersalah.

"Kita berpandukan pada apa yang kita amal, tiap-tiap orang yang datang kepada kita adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Itu adalah prinsip asas undang-undang dan hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada individu terbabit bersalah atau tidak," katanya.

Katanya, terdapat lagi ruang untuk dirujuk kepada Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan sekiranya individu berkenaan didapati bersalah.

"Kalau Mahkamah Persekutuan menentukan dia bersalah, persoalannya sama ada (peguam) terima legal fee atau tidak pada ketika itu kerana mengikut kenyataan itu (Mufti Perlis) ia adalah haram tetapi kerja (sebagai peguam) perlu digajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:39 PM