Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 2,500 individu sudah menerima sumbangan menerusi Program Nur Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sehingga kini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sumbangan wang tunai itu membabitkan peruntukkan sebanyak RM500,000.

Selain itu, katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut menyumbang wang tunai RM519,500 kepada 824 masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan suasana Ramadan.

"Diharapkan program ini dapat mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap insan.

"Agama Islam mengajak manusia supaya bersatu-padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturahim supaya Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera dalam keadaan aman dan damai selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, di sini, hari ini.

SHAHIDAN menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan. FOTO Asyraf Hamzah.
SHAHIDAN menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan. FOTO Asyraf Hamzah.

Penganjurannya dilaksanakan hasil kerjasama strategik di antara KWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan dan McDonald's Malaysia.

Shahidan berkata, bagi Parlimen Lembah Pantai, seramai 145 penerima sumbangan terdiri anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka kurang berkemampuan.

Mereka menerima bantuan wang tunai berjumlah RM200 seorang melalui peruntukkan Tabung Amanah KWP dan Baitulmal KWP.

Sepanjang penganjuran Program Nur Ramadan, McDonald's Malaysia turut menaja makanan moreh kepada kira-kira 8,500 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 10:40 PM