FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan jangan leka dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) menangani penularan Covid-19 apabila pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Pakar perubatan kesihatan awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, orang ramai digalakkan mengamalkan ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung berikutan ia salah satu cara terbaik untuk mengelak diri merisikokan orang lain selain terus kekal mematuhi SOP.

"Yang sebaiknya buatlah ujian kendiri satu hingga dua hari sebelum balik ke kampung atau untuk bergejala tiga hingga lima hari selepas terdedah dengan penularan bagi mengelak jangkitan kepada keluarga di kampung.

"Mungkin ramai berasa sihat tetapi mungkin ada jangkitan Covid-19 yang dia sendiri tidak sedari.

"Jadi lebih selamat, bualah ujian kendiri dan kalau bergejala dan positif seharusnya tangguhkan dahulu perjalanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu wajar diamalkan walaupun negara sudah memasuki fasa endemik.

"Pendedahan jangkitan komuniti ketika Ramadan adalah tinggi berikutan orang ramai bukan sahaja keluar ke tempat kerja dan sekolah malah ke pasar, bazar, surau dan masjid.

"Kemungkinan kes naik semula ketika Aidilfitri itu memang ada tetapi mungkin kes bergejala ringan.

"Tetapi jika masyarakat mengambil ringan hal ini termasuk mengabaikan SOP serta tidak menjalankan ujian kendiri dikhuatiri mereka akan menjadi pembawa sekali gus memberikan risiko kepada keluarga di kampung terutama warga emas, kanak-kanak serta golongan komorbid yang berisiko mendapat jangkitan lebih teruk," katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan kes Covid-19 berlaku pada Aidilfitri ini berikutan orang ramai pulang ke kampung selepas dua tahun tidak mendapat peluang berkenaan.

Berikutan itu, Khairy memberi jaminan pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memberi rawatan kepada pesakit terutama mereka yang bergejala teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:35 PM