FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Masyarakat seharusnya membudayakan amalan membuat ujian kendiri bagi mengelak sebarang risiko jangkitan dengan mengambil kira situasi Covid-19 yang masih belum reda.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, tidak kira ke mana sahaja, masyarakat perlu peka dan mempunyai kesedaran tinggi membuat ujian kendiri masing-masing sebagai satu tanggungjawab.

"Setiap individu perlu ada kesedaran mengambil pendekatan dengan membuat ujian kendiri sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian saliva.

"Jika kita balik kampung, bercuti atau ke mana-mana sahaja, andai kita merasakan pernah terdedah dengan orang mungkin ada gejala atau tidak, kita digalakkan buat ujian itu kerana kebanyakan jangkitan dalam komuniti tidak bergejala.

"Jadi kita selalu dalam risiko, apatah lagi tahap imun penerima vaksin selepas enam bulan suntikan sudah semakin berkurangan dan banyak pula sektor kini sudah dibuka," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas kesedaran orang ramai melakukan ujian kendiri terutama selepas bercuti apabila tiada lagi larangan aktiviti merentas negeri.

Mengulas lanjut, katanya, masyarakat perlu ada pengetahuan untuk mendapatkan keputusan tepat apabila menggunakan kit ujian kendiri berkenaan.

"Kita digalakkan membuat ulangan ujian kendiri selepas empat hari terdedah dengan orang ramai atau orang bergejala kerana ujian dibuat kurang dari tempoh itu kemungkinan tidak memberikan keputusan tepat.

"Contohnya, kita mungkin positif tetapi keputusan ujian yang dibuat kurang empat hari menunjukkan keputusan negatif yang palsu.

"Ini bahaya ramai tidak tahu kita mungkin akan menularkan jangkitan kepada orang lain, apatah lagi jika tiada gejala langsung, jadi jalan selamat adalah digalakkan mengulangi ujian kendiri untuk mendapatkan keputusan tepat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkaitan perlu mempertimbangkan pemberian subsidi kit ujian kendiri kepada golongan kurang berkemampuan terutama mereka yang berisiko terdedah dengan jangkitan.

Menurutnya, ada orang melakukan beberapa kerja, misalnya di siang hari bekerja lain manakala pada sebelah malam menyambung pekerjaan lain bagi menampung kos sara hidup.

"Risikonya lagi tinggi untuk dapat jangkitan kerana dia terdedah kepada ramai orang.

"Walaupun harga kit ujian ini cuma RM6.90, golongan ini sama ada mereka tidak mampu atau keutamaan hanya cari wang sahaja tidak dapat membuat ujian banyak kali sedangkan digalakkan buat lebih kerap kerana terdedah risiko.

"Justeru, kita perlu fikirkan sama ada kerajaan memberikan subsidi atau majikan menyediakan kit ujian kendiri kepada golongan mungkin tiada kemampuan untuk membuat ujian kendiri ini dengan lebih kerap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 4:01 PM