KUBUR kanak-kanak dipercayai mangsa bot pam meletup digali semula, hari ini. FOTO ihsan polis.
KUBUR kanak-kanak dipercayai mangsa bot pam meletup digali semula, hari ini. FOTO ihsan polis.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Polis mengesan seorang lelaki dipercayai bapa kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai berpunca kejadian bot pam meletup di kawasan perairan Pulau Tatagan, dekat sini, Rabu lalu.

Suspek dikenali sebagai Astari, 40, yang juga warga Filipina dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, hasil siasatan lanjut mendedahkan penemuan kubur baharu di Tanah Perkuburan Kampung Halo, Semporna pada hari sama kejadian.

Beliau berkata, ia membawa kepada penemuan satu mayat dipercayai mangsa kejadian letupan bot pam yang berpunca daripada aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan (bom ikan).

"Sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna pergi ke lokasi penemuan mayat itu untuk siasatan lanjut.

"Setelah mendapatkan perintah mahkamah, proses menggali semula kubur dijalankan Pasukan Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu Pasukan Siasatan BSJD IPD Semporna, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Perubatan Hospital Semporna," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohd Farhan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Semporna untuk tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

Katanya, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki warga asing berumur lebih kurang 10 tahun berdasarkan keadaan fizikal mayat.

"Polis giat mengesan bapa kandung mangsa dan orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan suspek dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 019-8139851 atau 089782020.

"Aktiviti pengeboman ikan adalah satu kesalahan jenayah boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Berita berkaitan

'Dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot pam meletup'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:30 PM