GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Penampang: Polis sedang giat menggerakkan usaha mengesan lelaki yang didakwa terbabit dalam kejadian ganggu dan cubaan melarikan seorang pelajar yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(1)(E) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

"Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan semua elemen di lapangan bagi memaksimumkan tahap keselamatan.

"Pihak polis juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi dan berita tidak sahih," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ia bagi memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selain dibimbangi boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 8:24 PM