Asrol Awang


Kuantan: Pasangan suami isteri antara lima ahli 'Geng Belly' ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan cubaan rasuah di sekitar daerah ini pada 12 dan 13 April lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua mereka itu berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

Menurutnya, empat individu termasuk dua wanita berusia 24 hingga 42 tahun terbabit ditahan selepas disyaki menjadi ahli sindiket pengedaran dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba dalam empat serbuan awal.

"Hasil serbuan itu, polis merampas dadah berjumlah RM40,693.49 iaitu heroin seberat 1,979.20 gram bernilai RM26,522.49, syabu seberat 126.71 gram bernilai RM12,671 dan pil yaba seberat 11 gram bernilai RM1,500.

"Sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM40,000 dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR bernilai RM9,000 disita.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM89,693.49.

|"Ujian air kencing mendapati empat suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Ramli berkata, seorang daripada suspek itu yang berusia 30 tahun menawarkan wang tunai berjumlah RM80,000 kepada polis sebagai dorongan untuk melepaskannya.

Ramli Mohamed Yoosuf  (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di sekitar Kuantan. FOTO Asrol Awang
Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di sekitar Kuantan. FOTO Asrol Awang

Menurutnya, susulan serbuan itu, seorang lagi lelaki yang dipercayai pembekal dadah berusia 46 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah di sini, pada 12.05 tengah malam semalam.

Katanya, lelaki terbabit ditahan ketika mahu memberi wang kepada pihak berkuasa sebagai dorongan untuk melepaskan dua lelaki yang ditahan itu.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas wang tunai sebanyak RM45,000.

"Suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

"Empat suspek pula ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Johor dan Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda negeri ini dan Rompin.

"Dengan penahanan ini, Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan Felda dan sekitar Keratong, Rompin yang didalangi warga tempatan.

"Rampasan dadah jenis heroin boleh dibekalkan kepada 3,959 penagih, syabu boleh dibekalkan kepada 253 penagih, manakala pil yaba pula diberikan kepada 22 penagih dalam masa sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 3:38 PM