GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Shah Alam: Tujuh individu termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram dalam pengumpulan dan pemilikan harta hasil daripada kegiatan judi haram.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Chung Chee Yang, 44, dan isterinya Lim Lee Cheng, 40, didapati menggunakan sebuah premis sebagai operator mesin judi.

Ahli perniagaan itu dan pasangannya dituduh melakukan kesalahan terbabit di Bandar Botanik, Klang pada 15 April 2021.

Chung juga turut dituduh bersama isteri dan ibunya, Tan Kwee Eng, 65, serta empat lagi lelaki atas dakwaan memiliki enam kereta mewah hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chung bersama enam lagi tertuduh didakwa memiliki enam kereta mewah iaitu tiga kereta Bentley, masing-masing sebuah kereta BMW X5, Toyota Alphard dan Honda Accord yang didaftarkan di bawah nama enam individu iaitu Lim; Kwee Eng; Ng Min Lin, 43; Tan Kah Hock, 37; Khor Beng Sin, 68, dan Lai Yee Peng, 73, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Bandar Sunway, Subang Jaya dan Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 16 April 2021.

Kesemua mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Aidil Akmal Sharidan, Izzat Dzulkafli dan Ahmad Faiz Munawar.

Harris Ong mencadangkan kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 diberikan kepada Chung, manakala tertuduh lain dikenakan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Aidil Akmal bagaimanapun memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Helina membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan kes akan disebut semula pada 31 Mei ini.

Media sebelum ini melaporkan, Chung dituduh di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 3:32 PM