Keadaan kenderaan jenis Proton. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan kenderaan jenis Proton. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Dua peniaga ayam maut ketika dalam perjalanan mendapatkan bekalannya selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar papan tanda serta pembetung di Kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat sini, 5 pagi hari ini.

Mangsa, Mohamad Shahrin Saedi, 30, maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya, Mohamad Ismadi Mohd Shaufe, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Machang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kedua mangsa yang menaiki Proton Saga dalam perjalanan dari Pasir Puteh untuk mendapatkan bekalan ayam di Tanah Merah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar papan tanda dan pembetung yang berada di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Tanah Merah.

"Penumpang kereta tercampak keluar daripada kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandunya yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan dibawa ke Hospital Machang," katanya ketika ditemui di pejabat di sini, hari ini.

Shuhaimi berkata, pemandu kereta disahkan meninggal dunia pada 7.45 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam perkembangan lain, seorang remaja perempuan maut ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan terlanggar pembetung.

Kejadian pada 7.30 pagi di Kampung Aur Cina, Pasir Mas dekat sini, menyebabkan mangsa, Nurul Husna Abdullah, 14, tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Shuhaimi berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong itu dikatakan baru mahir menunggang motosikal dan tergesa-gesa ke sekolah disebabkan terlewat.

"Kebiasaannya mangsa dihantar oleh ibunya namun disebabkan sudah terlewat, remaja itu menunggang sendiri motosikal jenis Honda EX5 milik bapanya sebelum terbabit dalam kemalangan.

"Mangsa yang tercampak di dalam longkang diangkat oleh bapanya sendiri dan disahkan meninggal dunia pada 8 pagi semalam ketika sedang dirawat di Hospital Pasir Mas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:51 PM