Zuraida Kamaruddin.
Zuraida Kamaruddin.
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Harga minyak sawit mentah (MSM) dalam pola menurun pada suku kedua ketika ini disebabkan sistem pengeluaran dan penghantaran komoditi negara belum pulih sepenuhnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kekangan itu tidak dapat dielak kerana seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19.

"Sekarang harga MSM memang ada turun naik, dan ia berlaku kerana kadar pengeluaran dan penghantaran belum stabil lagi disebabkan kita dan negara lain baharu sahaja membuka sempadan.

"Memandangkan kita sudah mengambil pekerja luar, ia pasti akan meningkatkan pengeluaran dan sistem akan kembali stabil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Hevea Malaysia di Kuah di sini, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas trend penurunan MSM yang sebelum ini dilaporkan melonjak melebihi RM8,000 pada awal Februari lalu dan kini berada pada paras RM6,631 satu tan metrik setakat semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk M Ravi, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Lee Chin Cheh dan Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Beliau berkata, selepas kedua-dua sistem itu kembali pulih, kementerian yakin harga MSM berada sekitar RM4,000 dan angka itu jauh lebih tinggi daripada kadar RM2,500 satu tan metrik sebelum ini.

Mengulas perkara berkaitan, Zuraida berkata, beliau difahamkan, 250,000 atau 50 peratus daripada 500,000 permohonan membawa masuk pekerja asing datang daripada sektor komoditi.

"Ketika ini permohonan membawa masuk pekerja asing termasuk sektor perladangan dan komoditi sudah dibuka oleh Kementerian Sumber Manusia.

"Pengusaha getah dan kelapa sawit yang ada ladang besar tiada masalah kerana mereka memiliki syarikat besar melayakkan (mereka) buat permohonan (membawa masuk pekerja)," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:43 PM