Abd Khalid Othman.
Abd Khalid Othman.
Raja Noraina Raja Rahim

Subang Jaya: Polis menjalankan siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki yang ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 11 Pangsapuri Intan, Taman Puchong Intan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, polis menerima panggilan kejadian jam 6.45 petang.

"Siasatan di tempat kejadian menemui kanak-kanak berusia enam tahun enam bulan itu dalam keadaan terlentang atas bumbung tempat letak kenderaan di tingkat dua pangsapuri berkenaan akibat terjatuh dari rumahnya di tingkat 11.

"Pemeriksaan secara fizikal oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tengkorak, siku dan betis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat ketika kejadian, ibu mangsa berada di rumah kerana bekerja secara dalam talian manakala bapa berada di kuil.

Katanya, ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya itu sedang bermain permainan video bersama tiga adik-beradik lain sebelum menyedari ketiadaannya dan mencari sekeliling rumah.

Tambah beliau, mangsa mempunyai masalah Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 11 pangsapuri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 3:20 PM